Ahli Lembaga Pengarah Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Sedili, Bidin Sulong berkata, ke­semua bot berkenaan melibatkan kira-kira 70 nelayan yang sememangnya sedang berada di laut.    
“Kami (PNK Sedili) menerima berita kejadian kira-kira 8.30 pagi ini dan kami terus mengambil inisiatif menghebahkannya kepada nelayan terbabit untuk membantu dalam operasi SAR,” katanya yang ditemui pemberita di Jeti Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Tanjung Sedili di sini.
Bidin, 57, berkata kesemua bot tersebut adalah daripada kelas B dan C yang turut dilengkapi walkie-talkie serta sistem kedudukan global (GPS).    
Beliau yang berpengalaman sebagai nelayan sejak 40 tahun lepas berkata, pencarian tersebut ditumpukan secara rawak dari kedudukan 29 batu nautika Pulau Aur di Mersing sehingga ke timur Desaru.
Selepas 54 jam terputus hu­bungan, bot yang dinaiki sembilan anak kapal KD Perdana ditemukan selamat di perairan timur Kuantan.
Bot itu dikesan pesawat TUDM yang ke lokasi tersebut selepas mendapat maklumat daripada kapal dagang.
Kata Bidin, terdapat lebih 1,000 nelayan di kawasan Sedili dengan seramai 574 orang daripadanya berdaftar dengan PNK Sedili.