RAIS YATIM

Penasihat Sosiobudaya Kerajaan, Tan Sri Dr. Rais Yatim berkata, kedudukan bahasa Melayu perlu ditegakkan sebagai bahasa induk, bahasa ilmu serta bahasa perdagangan demi menjadikan tanah air ulung apabila bahasa Melayu diangkat martabatnya.

Katanya, perkara ketiga pula adalah warisan adat tidak harus dilupakan sesuai dengan Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan dan raja-raja Melayu dengan kuasanya serta kaum-kaum lain perlu melihat adat yang tercicir untuk diangkat semula.

“Warisan rupa bangsa perlu turut ditekankan sebagai perkara keempat serta dasar budaya di sekolah dan universiti.

“Budaya ekonomi yang dilaksanakan sekarang harus tersisip dengan cara dan kaedah yang boleh meneguhkan semula rakyat yang dibimbing kerajaan,” katanya ketika berucap dalam kongres berkenaan yang dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi dekat sini hari ini.

Rais turut membangkitkan hal industri kreatif yang harus wujud kembali dan diperjuangkan bersama dalam perkara ketujuh dasar berkenaan untuk menjadi sisipan hidup bersama masyarakat antarabangsa.

Dalam pada itu Rais berkata, perancangan nasional yang besar seperti Transformasi Nasional 2050 (TN50) perlu mempunyai roh budaya yang tinggi yang mampu menjadi perisai dan obor pemangkin negara bangsa, bertamadun mulia dan patriotik.

Jelasnya, soal perpaduan sesama bangsa dan antara kaum mesti diperkasakan kembali dengan menyuburkan Rukun Negara dan dijadikan tiang seri tanah air.

Katanya, Rukun Negara mesti dijadikan instrumen perundangan apabila setiap rakyat pelbagai kaum tahu itu adalah pusaka negara bangsa Malaysia.