Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan), Datuk Dr. Azman Abu Bakar berkata, statistik itu menunjukkan negara sebenarnya berdepan masalah kekurangan pakar kardiologi yang kritikal.

"Nisbah kepadatan pakar kardiologi di negara ini adalah 0.075 bagi setiap 10,000 penduduk iaitu bersamaan dengan 7.5 pakar kardiologi bagi setiap sejuta penduduk.

"Berdasarkan bancian terkini, terdapat hanya 41 pakar kardiologi yang sedang berkhidmat dalam sektor awam dan angka itu sangat kecil untuk menampung jumlah pesakit jantung di seluruh negara," katanya.

Beliau berucap ketika merasmikan Persidangan Kemaskini Kardiologi Asia Pacifik Ke-11 @ Universiti Sains Malaysia (USM) 2018 mewakili Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pakar Perunding Kanan Kardiologi Hospital Universiti Sains Malaysia HUSM, Prof Datuk Dr. Zurkurnai Yusof.

Persidangan bertemakan 'Meningkatkan Penjagaan Melalui Kardiologi Gunaan' itu merupakan program tahunan yang menjadi platform kepada pakar kardiologi dan pengamal bidang perubatan dari seluruh dunia untuk berkongsi pengetahuan dan penemuan terbaharu dalam bidang kardiologi.

Dr. Azman dalam pada itu memberitahu, penyakit berkaitan jantung atau kardiovaskular merupakan salah satu pembunuh utama di dunia dengan 17.7 juta pesakit meninggal dunia akibat penyakit itu sepanjang 2015 iaitu mewakili 31 peratus daripada jumlah keseluruhan kematian.

"Daripada jumlah itu, kira-kira 7.4 juta pesakit meninggal dunia disebabkan oleh penyakit jantung koronari dan 6.7 juta pesakit lagi disebabkan oleh strok.

"Di Malaysia, penyakit jantung iskemia adalah punca utama kematian sepanjang 2016, iaitu mewakili 13.2 peratus daripada jumlah kematian," katanya.

Tambah beliau, rakyat Malaysia diserang penyakit kardiovaskular pada usia purata 58 tahun, iaitu jauh lebih muda berbanding 65 tahun ke atas untuk usia purata pesakit kardiovaskular di negara-negara maju.

"Rekod pesakit paling muda di negara ini ialah berusia 20 tahun," katanya. - UTUSAN ONLINE