Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, hasil bancian yang dijalankan kementerian melibatkan kawasan seluas 11,463 hektar di Pulau Pinang dan 4,041 hektar di Kedah.

Katanya, keseluruhan kerugian yang ditanggung golongan yang terjejas itu ialah RM27.6 juta.

“Kawasan yang terjejas melibatkan tanaman padi, buah-buahan dan sayur-sayuran dengan golongan pesawah paling ba­nyak terjejas iaitu 2,563 orang di Kedah dan 4,800 orang di Pulau Pinang.

“Seperti diumumkan Perdana Menteri bahawa kerajaan komited membantu mereka yang terjejas ini dan bantuan akan segera di­salurkan. Sebelum ini, kementerian terpaksa mengadakan bancian untuk mengenal pasti kerugian yang ditanggung pihak berkenaan kerana jumlahnya berbeza,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Pesta Pendang dan Mini Karnival Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Peringkat Daerah Pendang di Mini Stadium Daerah Pendang di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain kata beliau, kementerian memberi komitmen untuk melaksanakan program pengukuhan dan pening­katan produktiviti tanaman padi di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) de­ngan meningkatkan pendapatan petani.

“Untuk itu, kita melaksanakan pelbagai langkah seperti mening­katkan kepadatan infrastruktur pengairan di kawasan berkenaan dengan peruntukan yang diluluskan kerajaan sebanyak RM2.2 bi­lion. Setakat ini, sebanyak RM250 juta dibelanjakan bagi fasa pertama projek berkenaan yang antaranya membabitkan pengambilan tanah.

“Kita berharap dalam tempoh 10 tahun akan datang pendapatan petani ini akan meningkat daripada RM2,000 kepada RM4,000 sebulan,” katanya.

Berucap dalam majlis itu, beliau menggesa golongan petani merebut peluang menyertai bidang industri tani yang semakin menunjukkan prospek cerah se­perti tanaman durian terutama musang king, buah nanas dan madu kelulut.