Ketua Pengarah Jakim, Datuk Mohamad Nordin Ibrahim berkata, sijil itu dikeluarkan selepas pemohon terlibat mematuhi aspek syariah, kebersihan, kesucian dan keselamatan se­perti mana digariskan dalam panduan Halal Malaysia.

“Sehingga November lalu, Jakim juga telah mengiktiraf 75 badan pensijilan halal dari 43 negara seluruh dunia termasuk yang terbaharu iaitu Lithuania dan Kazakhstan.

“Perkembangan ini menunjukkan dunia hari ini sentiasa merujuk kepada Malaysia kerana kita bukan sahaja dianggap sebagai pelopor, tetapi ke hadapan dalam konteks pensijilan halal berikutan standard yang diba­ngunkan memenuhi kriteria an­tarabangsa,” katanya dalam Majlis Penyampaian Sijil Pengesahan Halal Malaysia di Kompleks Islam Putrajaya di sini hari ini.

Pada masa sama, Mohamad Nordin memaklumkan, Jakim akan mengadakan sesi dialog bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, jabatan-jabatan agama Islam negeri dan pihak berkuasa tempatan pada masa terdekat dalam mencari jalan penyelesaian isu status halal ayam sembelihan yang sering tular dalam media sosial.

Katanya, isu sembelihan se­ring mendapat perhatian orang ramai khususnya umat Islam dan seharusnya pihak berkuasa wajar mencari jalan untuk menangani permasalahan ber­kenaan.