Pengerusi Angkatan Mahasiswa UM, Muhammad Ahnaf Mohd. Yunus, 23, berkata, yuran tersebut telah dipotong serentak dengan yuran pengajian dan penginapan kolej para pelajar pada minggu ketiga semester tahun ini iaitu kira-kira sebulan lalu.

Tegas pelajar tahun empat di Fakulti Perniagaan dan Perakaunan itu, para pelajar kemudiannya dipaksa hadir ke majlis makan malam itu yang lazimnya akan diadakan di hotel bertaraf lima bintang sekitar bandar raya ini.

“Apabila para pelajar memohon supaya wang tersebut dikembalikan, pihak pentadbiran mengugut mereka tidak akan dapat kolej kediaman pada semester hadapan. Adilkah berbuat demikian?

“Ada pelajar yang nak makan setiap hari pun tiada duit, pihak pentadbiran kolej tanpa perikemanusiaan memaksa pula pelajar membayar RM120 makan malam di hotel yang gah,” katanya.

Terdahulu, Muhammad Ahnaf bersama 10 wakil pelajar bagi setiap kolej kediaman di UM berhimpun di hadapan Bangunan Canselori universiti tersebut bagi menyerahkan memorandum bantahan yuran makan malam kepada Naib Canselor UM, Datuk Dr. Ir. Abdul Rahim Hashim. - UTUSAN ONLINE