Menteri di Jabatan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Talib Zulpilip berkata, menurut laporan itu lagi, rakyat negara ini adalah pengguna tertinggi dan paling aktif di dunia untuk aplikasi laman sosial WhatsApp iaitu 59 peratus, pengguna laman Facebook 56 peratus dan laman YouTube 26 peratus.

“Maka ini menjadikan sebilangan besar rakyat negara ini mempunyai kadar literasi media yang sangat tinggi dan pelbagai kesempatan telah diambil oleh pelbagai pihak termasuk kerajaan bagi memastikan penggunaan internet memberikan faedah manfaat yang besar kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Persidangan Antarabangsa Literasi Media 2018 anjuran bersama Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan Pertubuhan Antarabangsa Eramus Kesatuan Eropah (EU) yang berlangsung selama dua hari di Hotel Palace Golden Horses, dekat sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah UMK, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman; Pengerusi Persidangan, Prof. Datuk Dr. Ibrahim Che Omar dan Coordinator Literasi Media dari Universiti Vienna, Austria, Prof. Dr. Hausjell Fritz.

Seramai 500 peserta hadir pada persidangan yang pertama kali diadakan ini, termasuk peserta dari luar negara seperti Vietnam, Thailand dan Jerman.

Talib berkata, seseorang yang celik media bukan hanya mampu memperoleh maklumat tetapi mesti tahu menggunakannya dengan bijak, pandai menilai dan mewujudkan maklumat baharu berdasarkan pengetahuan yang sebenar. - UTUSAN ONLINE