Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron berkata, beliau telah mengeluarkan arahan itu malam tadi kerana khuatir gas berkenaan masih berada dalam udara di kawasan itu dan boleh membawa kemudaratan sekiranya dihidu tanpa disedari khususnya ketika mangsa sedang tidur.

“Kebocoran gas klorin malam tadi mencetuskan suasana cemas kepada penduduk kawasan tersebut dan dianggarkan lebih daripada 50 penduduk terpaksa dikejarkan ke hospital setelah mengadu sakit tekak, batuk, sesak nafas dan sakit dada malah ada antara mereka yang pengsan.

“Saya dimaklumkan kebocoran itu berpunca daripada salah satu daripada tujuh silinder gas yang setiap satunya seberat satu tan ditemukan dalam sebuah rumah kosong di kampung itu dan kerajaan negeri telah menubuhkan satu jawatankuasa khas kecemasan bencana yang akan menyiasat punca sebenar kejadian tersebut,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan program Ziarah Kasih peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang di sini hari ini.

Dalam kejadian pukul 5.30 petang semalam, lebih 50 penduduk Kampung Tambak Paya mengalami sesak nafas selepas dipercayai terhidu gas klorin dan terpaksa dikejarkan ke Hospital Melaka dan Hospital Jasin sehingga malam tadi untuk menerima rawatan.

Menurut Idris, beliau dimaklumkan empat orang mangsa yang sebelum ini ditempatkan di Zon Merah Hospital Melaka kini dipindahkan ke Zon Hijau manakala mangsa selebihnya berada di bawah pemerhatian pasukan perubatan selama enam jam selepas dimasukkan ke wad dan keadaan semua mereka kini stabil.

“Saya juga telah meng­arahkan jawatankuasa itu yang dipengerusikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Naim Abu Bakar agar menyemak agensi-agensi kerajaan negeri atau syarikat yang menggunakan cecair klorin dalam urusan mereka antaranya Syarikat Air Melaka Berhad, Jabatan Pengairan dan Saliran dan setakat ini laporan yang diterima tiada penyalahgunaan bahan-bahan kimia ber­kenaan.

“Untuk itu, CCM Chemical Sdn. Bhd. yang merupakan satu-satunya pembekal kepada bahan kimia cecair toksin itu akan mengesan pihak yang terlibat kerana setiap silinder gas itu mempunyai nombor sendiri dan hasil siasatan itu akan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” jelasnya.

Beliau berkata, kejadian itu tidak sepatutnya berlaku dan pihak yang bertanggungjawab perlu dikenakan tindakan tegas kerana dipercayai menjadikan rumah kosong tersebut sebagai tempat penyimpanan bahan berkenaan dan ia sememangnya tidak dibenarkan.

Katanya lagi, kesemua penduduk akan ditempatkan di pusat penempatan sementara sehingga hasil siasatan pihak berkaitan mendapati kampung mereka selamat sebelum dibenarkan pulang.