Menterinya, Datuk Seri Ham­zah Zainuddin berkata, pihaknya sentiasa berusaha membantu usa­hawan memperluas dan menaik taraf perniagaan masing-ma­sing menerusi kemudahan seperti geran kewangan serta bantuan khidmat nasihat, pembungkusan, pelabelan, promosi dan peralatan.

Kata beliau, langkah itu bagi menggalakkan usahawan tempatan bersaing secara sihat dalam menghasilkan produk yang ber­kua­liti.

“Kerajaan telah membawa beberapa syarikat jenama tempatan ke Vietnam, Kemboja dan Thailand kerana merasakan budaya serta cita rasa produk tempatan dengan negara ASEAN ini hampir sama dan berupaya untuk berkembang dengan baik di sana.

“Selain itu, kerajaan juga yakin kualiti produk tempatan lebih baik daripada negara lain, atas sebab itu, kerajaan yakin untuk mempromosikan beberapa syarikat ini ke luar negara,” katanya selepas merasmikan restoran makanan Nusantara di sini hari ini.

Yang turut hadir Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Seri Jamil Salleh.

Dalam perkembangan sama, Hamzah berkata, pihaknya me­lalui Bahagian Pembangunan Francais dan beberapa agensi di bawah kementerian seperti Perbadanan Nasional Berhad (PNS) sentiasa melaksanakan program serta inisiatif bagi membantu mempromosikan jenama francais tempatan ke peringkat global.

Katanya, setakat ini terdapat 844 perniagaan francais berdaftar dengan lapan sektor iaitu makanan 39 peratus, diikuti pakaian dan aksesori, perkhidmatan dan penyelenggaraan, pusat pem­belajaran dan asuhan kanak-kanak (masing-masing 11 peratus).

Tambah beliau, syarikat yang menawarkan perkhidmatan rawatan kecantikan dan kesihatan pula sebanyak 10 peratus, kedai serbaneka dan pasar raya ( dua peratus), teknologi maklumat dan telekomunikasi (empat peratus) dan lain-lain perniagaan (12 peratus).