Program yang dianjurkan dengan kerjasama Lenggong Leadership Programme (Lead) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Hulu Perak itu mendapat sumbangan kewangan sebanyak RM45,000 daripada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Tuisyen percuma sebagai pro­gram tanggungjawab sosial korporat PTPTN yang masuk tahun keenam penganjurannya itu an­tara lain bertujuan membantu pelajar dalam kalangan keluarga kurang berkemampuan untuk melakukan persediaan bagi menghadapi SPM, bermula 13 November depan.

Fokus utamanya ialah pada subjek wajib lulus SPM iaitu Bahasa Melayu dan Sejarah, namun mata pelajaran itu akan ditambah pada tahun ini merangkumi Bahasa Inggeris, Pendidikan Islam, Matematik, Matematik Tambahan, Sains, Fizik, Kimia dan Biologi.

Sembilan sekolah yang menerima sumbangan tuisyen percuma tersebut ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Azlan Shah, SMK Dato’ Ahmad, SMK Tan Sri Abdul Aziz, SMK Kenering, SMK Seri Budiman, SMK Sultan Idris Shah II, SMK Gerik, Tahfiz Darul Ridzuan Lenggong dan Tahfiz Pondok Air Jernih.

Penganjuran 50 siri tuisyen percuma itu sekali gus diharap dapat melonjak pencapaian sekolah-sekolah dalam daerah Hulu Perak selain meringankan bebanan kewangan sekolah.

Pengerusi PTPTN, Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, PTPTN kini berusaha membantu negara dalam mencapai kelompok 20 negara terbaik dunia dengan menyediakan pembiayaan dalam bidang pendidikan yang memenuhi kehendak masa depan negara.

Beliau berkata, langkah itu selari dengan manifesto Barisan Nasional (BN) yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi melahirkan tenaga kerja profesional dengan PTPTN juga bergerak seiring ke arah menjadi sebuah perbadanan bertaraf dunia.

“Menerusi Bajet 2018, PTPTN misalnya menyediakan insentif geran sepadan melibatkan peruntukan sebanyak RM250 juta di bawah Skim Simpanan Pendidikan Nasional 1Malaysia (SSPN1M) yang mana sesiapa yang menyimpan RM500 mendapat percuma RM500 untuk 500,000 akaun terawal.

“Langkah ini menyediakan pelajar supaya tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada pinjaman pada masa hadapan, sesuai dengan imej kita sebagai tabung pendidikan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan perasmian program tuisyen percuma tersebut yang diadakan Dewan Bestari, SMK Dato’ Ahmad di sini hari ini.

Hadir sama Timbalan Ketua Eksekutif (Dasar dan Operasi) PTPTN, Mastura Mohd. Khalid serta Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Hulu Perak, Nasaruddin Zakaria.

Pada majlis tersebut, Shamsul Nasarah yang juga Ahli Parlimen Lenggong, turut menyampaikan sumbangan kepada pelajar-pelajar yang telah mencapai gred purata cemerlang pada peperiksaan tahun lalu serta pelajar-pelajar bagi kategori asnaf.

Dalam pada itu, beliau berkata, seperti terkandung dalam Bajet 2018, PTPTN mempunyai peruntukan sebanyak RM200 juta bagi menaik­kan jumlah pinjaman kepada pelajar-pelajar dalam kelompok B40, de­ngan memfokuskan kepada kursus-kursus yang memiliki jaminan kerja atau kebolehpasaran tinggi.

Selain itu katanya, pihaknya juga telah memperkenalkan platform bagi membantu peminjam untuk mendapatkan pekerjaan di bawah program JobMatchingPTPTN.

Menurut Shamsul Anuar, di bawah program tersebut, peruntukan awal seba­nyak RM20 juta akan disediakan bagi membiayai latihan kemahiran tambahan (upskilling) yang bernilai tidak melebihi RM2,000 secara percuma kepada 10,000 peminjam terawal.

“Oleh itu, PTPTN bukan hanya mengejar individu yang tidak membayar hutang, tetapi kita menyelesaikan hal dalam pelbagai isu seperti yang disarankan oleh kerajaan,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Shamsul Anuar berkata, sejak penubuhan PTPTN pada 20 tahun lalu sehingga 31 Mac lalu, seba­nyak 50,153 pelajar boleh dianggap menerima pendidikan percuma di peringkat pengajian tinggi apabila dikecualikan untuk membayar balik pinjaman keseluruhan bernilai RM1.5 bilion.

Beliau berkata, pengecuali­an bayaran balik pinjaman itu dinikmati oleh graduan pelbagai kaum yang memperoleh keputusan cemerlang seperti ijazah sarjana muda kelas pertama di institusi pengajian tinggi awam dan swasta di negara ini.

“Oleh itu, cadangan pihak ter­tentu yang kononnya ingin menghapuskan hutang 2.8 juta pelajar bernilai RM52 bilion sebenarnya sangat tidak realistik.

“Hakikatnya di Malaysia apabila hendak masuk universiti, boleh dikatakan 90 peratus dibiayai oleh kerajaan sementara 10 peratus lagi ditanggung oleh ibu bapa,” katanya.