Presiden Kelab Media Pahang (KMP) Datuk Nik Naizi Husin berkata, ekspedisi kali ini amat mencabar berbanding ekspedisi yang pernah dilakukan kerana pendakiannya lebih berliku selain berdepan cuaca sejuk.

"Ini adalah lumrah pendakian...apa yang penting adalah usaha kami sebagai pengamal media dari beberapa negeri untuk mengangkat martabat dan mengharumkan nama negara di persada antarabangsa," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Pengurniaan Jalur Gemilang dan Bendera Pahang Cabaran Annapurna 2017 Media dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, di sini hari ini, yang disempurnakan Tengku Puan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang mewakili Pemangku Raja Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang Datuk Abdul Wahab Mat Yasin berkata, hubungan baik pihak Bomba dan Penyelamat Pahang dan media sememangnya sudah lama terjalin dan membentuk kerjasama erat berdasarkan slogan komited untuk berkhidmat.

"Hubungan baik ini diteruskan lagi dengan dengan penganjuran bersama aktiviti riadah seperti mendaki gunung yang bukan sahaja dapat mengekalkan kecergasan tetapi juga menyahut saranan kerajaan menggalakkan amalan gaya hidup sihat.

"Idea (ekspedisi) ini tercetus menerusi hubungan baik kedua pihak selepas beberapa kali menganjurkan aktiviti mendaki gunung bermula di Gunung Rajah pada 2014 diikuti Gunung Nuang pada 2015," katanya.

Ekspedisi kali ini disertai 30 pegawai dan anggota termasuk Pengarah Bomba dan Penyelamat Negeri Sarawak, Kedah serta Komandan Akademi Bomba di Kuala Kubu Baharu, Selangor serta Akademi Bomba Wakaf Tapai, Marang, Terengganu. - BERNAMA