Presiden Gabungan Persatuan Permotoran Malaysia (GPMOTO), Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, MBW 2018 adalah program jambori permotoran terbesar di negara ini yang julung kali diadakan akan dikawal oleh pihak polis termasuk 200 orang pasukan perubatan.

“Mesyuarat Jawatankuasa Tek­-
nikal terakhir MBW 2018 hari ini sudah mencapai 50 peratus persediaan termasuk persiapan logistik, pemasangan khemah pa­meran dan pentas.

“Saya berpuas hati dan berharap program ini berjaya menghimpunkan peminat sukan permotoran tanah air sekali gus menjadikan program ini sebagai acara tahunan,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal MBW 2018 di sini, hari ini.

Beliau yang juga Setiausaha Kerja UMNO berkata, program itu adalah cetusan idea dan cada­ngan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahidi Hamidi selaku Pengerusi Eksekutif GPMOTO untuk menghimpunkan penunggang motosikal pelbagai kategori dan jenama iaitu ‘Superbike’, ‘Easy Rider’, kapcai, klasik, Vespa dan ‘Lady Bikes’.

Lebih menarik lagi, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar juga akan mempamerkan koleksi peribadi baginda sepanjang program ini berlangsung.

“Tuanku berkenan mempa­mer­kan koleksi kenderaan peri­ba­di bagi menjadi tarikan kepada orang ramai untuk datang melihat yang selama ini juga baginda menggunakan kaedah permoto­ran untuk memikat hati rakyat dan memberi kesan mendalam pada rakyat Johor.

“Kita menyasarkan kira-kira 100,000 peserta akan berhimpun di MBW 2018 termasuk peserta dari Singapura, Thailand, Brunei dan Indonesia,” katanya.

Baginda juga berkenan melan­carkan program tersebut yang akan turut dihadiri Ahmad Zahid.
Dalam pada itu, Ab. Rauf berkata, sebanyak 40 motosikal jenis Yamaha Y15 dan Benelli bakal dihadiahkan kepada pengunjung melalui cabutan bertuah, selain pengunjung berpeluang memenangi aksesori motosikal.

“Antara program yang akan diadakan adalah ‘Miss Motorbike 2018’ terbuka kepada semua peserta ‘Lady Bikers’, pertandingan motor tercantik setiap kategori dan ‘Bikers Fashion Show’ yang dinilai dari segi pemakaian sempurna, cantik dan menarik.

“Kita juga akan menampilkan persembahan istimewa daripada pasukan polis serta artis terkenal tanah air seperti Awie, Ella, Akim & The Majistret serta Azlan Typewriter,” katanya.

Acara itu juga memberi peluang kepada syarikat tempatan untuk mempromosi produk permotoran tempatan serta membantu individu menjual dan membeli motosikal pada harga terpakai.