Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan, Superitenden Markandan Subramaniam berkata, antara punca utama kemalangan maut pula ialah kenderaan dipandu terbabas dan masuk laluan bertentangan serta gagal dalam cubaan memotong kenderaan.

"Harapan saya, pengguna perlulah memainkan peranan masing-masing dalam mematuhi peraturan jalan raya bagi mengelak sebarang perkara tidak diingini ," katanya kepada pemberita selepas Op Selamat 13/18 di Stesen Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dekat Labok, di sini semalam.

Dalam pada itu, Markandan berkata, Sejak Op Selamat dilancarkan pada 8 Jun lalu, sebanyak 7,151 saman dikeluarkan kepada pengguna jalan raya di negeri ini.

"Saman yang dikeluarkan sejak operasi berjalan selama 14 hari itu melibatkan pelbagai kesalahan lalu lintas antaranya memandu melebihi had laju dibenarkan, tiada lesen, tidak memakai tali pinggang keledar dan topi keledar serta memotong garisan berkembar.

"Berdasarkan statistik Op Selamat tersebut, Kelantan merekodkan 28 kematian akibat kemalangan dan 23 kes daripada jumlah keseluruhan 808 kes adalah membabitkan kemalangan maut," ujarnya.

Tambah Markandan , pihaknya akan meneruskan penguatkuasaan dan berkempen bagi meningkatkan kesedaran kepada pengguna jalan raya.

"Saya juga amat menghargai dan berterima kasih kepada semua anggota kita yang telah bertugas sepanjang operasi dijalankan," ujarnya. - UTUSAN ONLINE