Pengarah Urusan Bon Estates, Goh Soo Sing berkata, 90 peratus daripada pembeli projek bernilai RM650 juta itu merupakan rakyat tempatan.

“Kesemua 328 unit ini menawarkan kira-kira lima jenis konsep rekaan berbeza mengikut cita rasa pembeli dengan kelua­san antara 218 hingga 323 meter persegi dijual pada harga bermula RM1.7 juta.

“Selain kondusif untuk kehidupan seisi keluarga, setiap unit turut memberi penekanan terhadap kehendak pembeli termasuk dekorasi dalaman mahupun konsep susun atur kelengkapan perabot sebagai salah satu nilai tambah kami kepada pelanggan yang dihargai,” katanya.

Beliau ditemui selepas pelancaran The Estate Bangsar South di Galeri Jualan Bon Estates di sini, hari ini.

Menurutnya, selain akses yang menghubungkannya ke beberapa lokasi strategik di sekitar Lembah Klang, pembinaan kondominium mewah berstatus pegangan bebas itu turut dilengkapi lot perniagaan dan infrastruktur moden termasuk kolam renang, gimnasium, pusat yoga dan bilik rawatan serta taman permainan terbuka untuk kanak-kanak selain dewan pelbagai guna.

“Walaupun berdepan cabaran ekonomi global yang menyusut, pihak kami komited untuk memberi pilihan terbaik sebagai nilai tambah kepada para pelanggan.

“Harga ditawarkan masih kompetitif dengan keluasan binaan setiap unit dan inilah kelainan serta kelebihan yang kami tampilkan,” ujarnya.