Pengurus Besar Kumpulan Jakel, Lokman Paris berkata, ini adalah sebahagian daripada sesi jelajah untuk para finalis sebelum ke peringkat akhir edisi ke-21.

“Pemilihan Jakel sebagai lokasi penjelajahan adalah kerana Jakel merupakan penaja rasmi tekstil dalam penganjuran Miss Tourism International 2015 edisi ke-21.

“Selain itu, Jakel ingin memper­kenalkan kepada pelancong luar bahawa Jakel Mall adalah pusat tekstil terbesar di dunia yang berkeluasan 330,000 kaki persegi,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Lokman berkata, sesi lawatan tersebut bertujuan untuk memberikan pendedahan kepada mereka mengenai pengetahuan produk dari aspek kepelbagaian jenis fabrik yang ditawarkan di Jakel Mall.

“Lagipun sekarang ini sedang berlakunya aktiviti Jualan Akhir Tahun Jakel lagi meriah dengan kehadiran mereka,” katanya.

Tambah Lokman, dalam sesi lawatan itu, para finalis akan dibawa ke setiap aras untuk melihat koleksi-koleksi fabrik yang ada di Jakel Mall.

“Secara tidak langsung, finalis dari negara luar juga dapat mengenali fabrik kegemaran masyarakat Malaysia sebagai contoh fabrik songke t dan batik yang juga dijual di Jakel,” ujarnya.