Mohamed Azman Aziz Mohammed

Timbalan Ketua Eksekutif (Operasi) Perkeso, Datuk Dr. Mohamed Azman Aziz Mohammed berkata, siri jelajah telah bermula di Johor tahun lalu manakala Terengganu hari ini sebelum diteruskan ke nege­ri lain tidak lama lagi.

Beliau memberitahu, skim perlindungan keselamatan sosial tersebut terbahagi kepada dua iaitu Insurans Bencana Pekerjaan dan Skim Keilatan yang mula dikuatkuasakan 1 Januari lalu.

Beliau menyatakan perkara itu ketika ditemui selepas Majlis Taklimat Perluasan Skim Perlindungan Keselamatan Sosial Kepada Anggota Perkhidmatan Awam Negeri Terengganu Bertaraf Sementara dan Kontrak di sini hari ini.

Majlis tersebut disempurnakan oleh Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan) negeri, Samiun Salleh. Yang turut hadir, Pengarah Perkeso negeri, Mohamad Ramli Dahalan.

Menurutnya, meskipun sambut­an agak perlahan, namun pihaknya yakin lebih ramai anggota perkhidmatan awam melibatkan agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan badan berkanun lain akan menyertai skim berkenaan pada masa depan.

Mohamed Azman menjelaskan, antara faedah yang boleh dinikmati menerusi skim tersebut, pencarum mendapat perlindungan insurans sepanjang hayat melalui pemotongan gaji 0.5 peratus manakala majikan pula 1.75 peratus.

Bagi skim Insurans Bencana Pe­kerjaan, katanya, jika berlaku kemalangan di tempat kerja atau menghidap penyakit disebabkan pendedahan kepada risiko di tempat bertugas, mereka layak mendapat bayaran cuti sakit serta bayaran kekal.

“Jika kematian di tempat kerja, suami atau isteri serta waris dapat faedah pencen bulanan. Begitu juga faedah lain seperti pengurusan jenazah, lumpuh dan sebagainya, kita akan sediakan kemudahan sepanjang hayat.

“Bagi pencen ilat pula, perlin­dungan diberi 24 jam. Umpamanya kalau berlaku kematian di luar tempat kerja seperti hidap kanser, sakit jantung, kencing manis dan lain-lain, waris akan dapat pencen bulanan,” katanya.