Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Miri, Kapten Maritim Md Fauzi Othman berkata, aktiviti penangkapan ikan di kawasan yang tidak sepatutnya itu dilaporkan kepada pihaknya oleh orang awam pada kira-kira pukul 9.30 pagi.

Beliau berkata, bertindak atas laporan diterima, sebuah bot peronda Maritim Malaysia telah menjejaki bot nelayan berkenaan dan berjaya mengesannya kira-kira pukul 10.30 pagi.

“Semasa dikesan pada jarak kira-kira 2.5 batu nautika, bot pukat tunda terbabit didapati sedang menjalankan aktiviti menangkap ikan tidak jauh dari pantai.

“Pada pukul 10.50 pagi, bot peronda telah merapati bot nelayan berkenaan untuk menjalankan pemeriksaan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Md Fauzi berkata, hasil pemeriksaan, bot nelayan terbabit disyaki telah melakukan penangkapan ikan di zon yang tidak dibenarkan oleh Jabatan Perikanan.

Beliau berkata, pelbagai jenis ikan seberat 500 kilogram bernilai kira-kira RM5,000 yang ditangkap secara haram oleh nelayan terbabit turut disita.

Katanya, kesemua enam nelayan termasuk tekong berusia 26 hingga 56 tahun kemudian ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Akta Perikanan 1985.