Tinjauan Utusan Malaysia di kampung itu baru-baru ini mendapati, paya takungan berke­naan berisiko dimasuki air sawah beracun yang terletak ber­­sebelahan.

AZID HASSAN
AZID HASSAN 

Walaupun terdapat tangki air disediakan tetapi tiada bekalan air sejak Jun tahun lalu menyebabkan penduduk terbeban mendapatkan air bersih untuk minuman.

Seorang penduduk, Azid Hassan,52, berkata, mereka tiada pilihan selain menggunakan takungan paya itu kerana ketia­daan air bersih meskipun paip air utama telah lama dipasang.

“Sebelum ini kami telah mem­bayar lebih RM400 kepada seorang yang berjanji menguruskan pemasangan air tetapi sehingga kini tiada hasilnya.

“Mahu tidak mahu kami terpaksa menggunakan air kolam yang digali meskipun kegatalan badan selepas man­di. Bagi anak kecil, kami terpaksa beli air paip dan mengehadkan penggunaannya,” katanya ketika ditemui.

Menurut Azid, pada masa ini dia yang tinggal bersama 10 ahli keluarga terpaksa bergantung ke­pa­da air paya itu yang digunakan untuk urusan seharian.

“Pun begitu, kadangkala kami terpaksa memasak air paya ini untuk diminum apabila kehabisan air yang dibeli,” ujarnya.

Sementara itu, Mohammad Izzudin Azis, 22, berkata, ketiadaan air paip membebankan mereka yang terpaksa membeli air di rumah penduduk berhampiran yang jaraknya lebih empat kilometer.

“Sebelum ini ada air bersih disediakan di dalam tangki air paip untuk kegunaan penduduk tetapi sejak Jun tahun lalu ia sudah tiada,” katanya.