T. NARENASAGARAN

Timbalan Pengarah Pengurusan (Latihan), Jabatan Pengurusan Bukit Aman, Datuk T. Narenasagaran berkata, pengambilan itu dilakukan bagi mengisi pelbagai jawatan serta kekosongan oleh pegawai dan anggota yang telah bersara atau berhenti.

“Pengambilan pegawai dan anggota ini melibatkan beberapa jawatan seperti inspektor, anggota berpangkat rendah, konstabel so­kongan termasuk konstabel Orang Asli.

“Pengambilan baharu ini adalah bagi memantapkan keupayaan dan kapasiti PDRM untuk meme­nuhi keperluan per­khidmatan kepada masyarakat di negara ini,” katanya selepas merasmikan Perbarisan Tamat Latihan Kursus Asas Pasukan Gerakan Am (PGA) Siri 1/2017 di Briged Utara PGA Ulu Kinta, di sini hari ini.

Pada kursus ber­kenaan, sebanyak 658 pegawai dan anggota yang terdiri daripada pelbagai batalion te­lah menjalani latihan selama sembilan ming­gu di 13 pusat latihan di seluruh negara.

Dalam pada itu, Narenasagaran berkata, pada tahun ini, hanya 1,700 orang pegawai dan anggota direkrut untuk menyertai PDRM.

Sehubungan itu katanya, pe­nambahan ketara bilangan rekrut tersebut pada tahun depan me­rupakan langkah terbaik diambil oleh kerajaan bagi memperkasa PDRM seiring dengan pencapaian standard dunia dalam tugas-tugas kepolisan.

“Kita juga mungkin dapat menambahkan bilangan anggota polis di dalam kawasan masyarakat sekali gus dapat mengurangkan aktiviti jenayah,” katanya.