Menurut anggota Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Prof. Dr. Thareq Abdul Rahman, sehingga kini tiada keputusan penyelidikan konklusif yang membuktikan teknologi terbabit boleh mengundang kemudaratan kepada kesihatan manusia.

Beliau yang juga pensyarah di Sekolah Kejuruteraan Elektrik dalam bidang komunikasi tanpa wayar di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menegaskan, pendedahan terhadap Medan Elektromagnet Frekuensi Radio (EMF) adalah di bawah had yang disyorkan di dalam Garis Panduan International Commission on Non-Ionizing Radiation Protection (ICNIRP).

“Malah tanggapan orang awam bahawa masalah sakit kepala, kemurungan, kebimbangan dan keletihan disebabkan oleh pendedahan terhadap EMF berskala rendah adalah tidak tepat kerana tiada bukti saintifik menunjukkan apa-apa kaitan dengan simptom-simptom tersebut,” jelasnya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Jelas Dr. Thareq, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang berpandukan kepada 25,000 artikel penyelidikan sepanjang tempoh 30 tahun lalu turut merumuskan, bukti sedia ada tidak mengesahkan wujudnya sebarang impak kesihatan akibat pendedahan kepada EMF berskala rendah.

Jelasnya, EMF tergolong di bawah kategori ‘non ionizing radiation’ iaitu gelombang yang kuantumnya tidak cukup untuk memecahkan atau menganggu struktur sesuatu molekul berbanding dengan ‘ionizing radiation’.

“Dalam konteks ini, pendedahan terhadap ‘non-ionizing radiation’ hanya menyebabkan kesan pemanasan, namun tidak cukup untuk mengakibatkan kerosakan jangka panjang kepada tisu badan,” jelasnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Dr. Thareq turut menggesa agar kempen pendidikan atau kesedaran dapat dipertingkatkan bagi memberi penerangan lebih jelas kepada orang ramai mengenai teknologi 5G.

Jelasnya, teknologi 5G memberi banyak manfaat kepada pelbagai aspek kehidupan manusia seperti bidang kesihatan, keselamatan awam, pertanian, pendidikan dan banyak lagi.

Bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai EMF yang dibangunkan oleh SKMM bersama Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU), boleh layari www.rfemf.mcmc.gov.my. - UTUSAN ONLINE