Ahli Lembaga Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Datuk Abdul Shukur Idrus berkata, Selangor Month yang bermula sejak 15 Julai lalu dan berakhir 31 Ogos ini adalah usaha FAMA untuk membantu usahawan Selangor me­nembusi pasaran di Singapura.

Menurutnya, antara produk yang dibawa masuk ke negara itu termasuklah kerepek ubi kayu, biskut, pes makanan dan minuman segera.

“Promosi ini membabitkan ti­ga lokasi berbeza iaitu di Pasar Raya Big Box, Jerong East; Global Halal Hub di Jalan Chai Chee dan di Agrobazaar Malaysia-Singapura (ABMS).

“Apa yang lebih menarik, mereka juga berpeluang untuk mempromosikan produk industri asas tani sempena Expo Malaysia Fest di Expo Hall Changi bermula hari ini hingga Ahad,” katanya kepada pemberita selepas me­rasmikan Selangor Month di Pasar Raya Big Box, Jerong East, di sini semalam.

Yang turut hadir Pengarah Ka­nan (Pasaran Antarabangsa) FAMA, Datuk Nazipah Jamaludin; Pengarah FAMA Selangor, Datuk Abdul Ghariff Ramin; Pengarah FAMA Johor, Zainal Abidin Yang Razalli dan Pengurus Besar Agrobazaar Malaysia di Si­ngapura, Noor Hisham Mohamad Sainan.

Dalam pada itu, Abdul Shukur yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuang berkata, usaha sedemikian adalah titik permulaan dan pihaknya untuk membawa masuk lebih ramai usa­hawan termasuk dari negeri lain ke Singapura.

“Pendekatan seperti ini sangat baik kerana membuka peluang kepada usahawan Malaysia memasuki pasaran antarabangsa.

“Pasaran Singapura juga pen­ting kerana ia menjadi hub di rantau ini, malah piawaian ketat untuk memasuki pasaran negara ini juga membolehkan produk kita turut dipasarkan ke negara lain,” katanya. – UTUSAN