Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Zaldino Zaludin berkata, sepasukan anggota polis peronda (MPV) yang menjalankan rondaan telah terserempak dengan semua remaja berkenaan kira-kira pukul 11 pagi di kawasan tersebut.

Beliau berkata, remaja tersebut basikal itu adalah milik mereka dan tujuan ke kawasan berkenaan adalah untuk beriadah semasa musim cuti sekolah.

“Pemeriksaan yang dilakukan anggota polis mendapati basikal lajak itu tidak menepati ciri-ciri keselamatan di bahagian lampu serta brek.

“Masyarakat perlu tahu bahawa undang-undang yang terpakai untuk dikuatkuasakan ke atas basikal lajak ini adalah tindakan saman di bawah Peraturan 42(1)(a) LN 166/59 Kaedah-kaedah Lalu Lintas 1959,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Menurutnya, sepasukan anggota Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (BPJKK) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai telah bergegas ke lokasi dan membawa semua basikal itu ke Balai Polis Lenggeng, di sini.

Jelasnya, ibu bapa semua kanak-kanak dan remaja itu telah dipanggil ke balai polis itu dan diberi nasihat oleh Ketua BPJKK IPD Nilai, Inspektor Jaslin Mian. - UTUSAN ONLINE