Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Pelancongan negeri, Liow Cai Tung berkata, tiga daerah tersebut ialah Johor Bahru dengan 134 kes, Batu Pahat (128 kes) dan Muar (110 kes).

“Memang diakui kes penderaan kanak-kanak amat membimbangkan dan perlu ada tindakan pencegahan bagi meningkatkan kesedaran terhadap perlindungan kanak-kanak,” katanya menggulungkan perbahasan Belanjawan Johor 2019 dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Iskandar di sini sebentar ini.

Justeru, beliau berkata, kerjasama bersama-sama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan kanak-kanak, orang awam dan sukarelawan akan dipertingkatkan bagi memberi kesedaran masyarakat membantu menangani isu tersebut.

Katanya, latihan kepada pelindung kanak-kanak dalam pengurusan kes kanak-kanak juga akan dilaksanakan bagi meningkatkan kualiti pengurusan kes, penyediaan laporan dan profesionalisme mereka.

Cai Tung juga memberitahu, negeri ini bukan sahaja mempunyai Rumah Perlindungan Kanak-Kanak Johor.

“Kita juga ada Rumah Kanak-Kanak Mini dan Asrama Akhlak Kempas yang memberi perlindungan kepada kanak-kanak yang menjadi mangsa kes pengabaian, terbiar, penderaan fizikal atau seksual, mengemis, warga asing, tiada dokumen kelahiran dan sebagainya,” katanya. - UTUSAN ONLINE