Pengerusi Yayasan Eco World, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, program anjuran kali kedua itu menyasarkan pelajar cemerlang di bawah program bantuan pelajar yayasan tersebut dari zon tengah.


“Tujuh pelajar cemerlang PT3 dirai dengan masing-masing menerima hadiah wang tunai sebanyak RM500, RM400 dan RM250 bagi setiap kategori manakala 45 murid UPSR pula menerima hadiah RM200, RM150 dan RM100 beserta kamus serta buku motivasi.


“Dalam pada itu, guru-guru yang telah menunjukkan komitmen tinggi terdiri daripada empat guru dari Selangor, dua dari Kuala Lumpur dan dua dari Pahang turut menerima pengiktirafan,” katanya di sini hari ini.


Lam Thye menambah, Yayasan Eco World merupakan satu-satunya yayasan yang memberikan bantuan pendidikan kepada pelajar yang memerlukan bermula daripada darjah satu sehingga ke menara gading.

“Setakat ini, 59 pelajar di bawah bantuan kami ke menara gading dengan 20 orang telah tamat pengajian dan 39 masih menuntut di pelbagai universiti awam dan swasta.


“Sesungguhnya, bantuan yang diberikan ini merupakan usaha program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang dilaksanakan kami tanpa mengira bangsa dan agama,” ujarnya. 


Yang turut hadir, Pengarah Eksekutif Eco World Development Group Berhad, Datuk Voon Tin Yow dan Ketua Eksekutif Eco World Malaysia, Datuk Chang Khim Wah. -UTUSAN ONLINE