Bagi anugerah inovasi, sebanyak 34 pasukan dipilih untuk menerima anugerah tersebut antaranya Institut Pegawai Kanan Tentera Darat (Inspeka), Pusat Latihan Armor (Pulamor) serta Markas 5 Briged manakala 17 anggota daripada pelbagai pangkat pula berjaya menjadi pemenang pertandingan esei.

Panglima Tentera Darat (TD) , Jeneral Datuk Seri Zulkiple Kassim berkata, anugerah yang disampaikan pada hari ini merupakan satu pengiktirafan kepada semua warga Tentera Darat yang telah mempamerkan kecemerlangan dalam penghasilan inovasi produk berimpak tinggi.

Ujar beliau, anggota serta pasukan ini berupaya mempelbagaikan kreativiti dalam mewujudkan produk yang dapat memudahkan pengurusan setiap unit antaranya Recycled Turret, Sistem Push-Up Database Hornet serta Sistem i-Step Inovasi Sistem Tuntutan Elaun Perjalanan.

“Banyak inovasi yang telah dibuat, aspek yang paling penting bagi kita adalah bagaimana anggota dan pasukan kita mengaplikasikan inovasi tersebut dalam pengurusan harian.

“Tidak kiralah mereka menang tempat ke berapa, johan atau sebaliknya. Kita mahu inovasi yang mereka cipta itu dapat dipraktikkan serta dapat menjimatkan kos, masa dan tenaga anggota,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Anugerah Inovasi dan Penulisan Esei Panglima Tentera Darat Tahun 2016 serta pelancaran logo Malaysia Army Standard (MASt) di Auditorium Kementerian Pertahanan di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Seri Ahmad Hasbullah Mohd. Nawawi dan Inspektor Jeneral Tentera Darat, Mejer Jeneral Datuk Adnan Abu Bakar. - UTUSAN ONLINE