Bahkan bukan setahun dua tetapi pengalaman memeritkan itu terpaksa ditempuh penduduk dari Kampung Belukar Lenga, Kampung Sungai Buluh, Kampung Batu Bertangkup dan Kampung Baru sejak 30 tahun lalu.

Lebih menyedihkan apabila mereka masih terpaksa membayar bil air setiap bulan seperti pengguna lain yang menerima bekalan itu, walaupun hanya 'angin' yang keluar daripada muncung kepala paip.

Menurut salah seorang penduduk Kampung Belukar Lenga, Alisa a/p Esoon, 26, dia sudah tidak tahan lagi dengan janji demi janji yang ditabur oleh pihak-pihak berkenaan untuk membantu mereka.

Katanya, ini termasuklah janji pihak pengurusan Syarikat Air Perlis (SAP) yang memaklumkan untuk menggantikan sistem paip air yang baharu ketika mengadakan tinjauan ke kampung itu baru-baru ini.

“Setakat ini, tiada perubahan yang berlaku. Selama ini (30 tahun), kami hanya menerima bekalan air bersih daripada pukul 5 petang sehingga pukul 7 pagi sahaja.

“Lebih malang, sejak sebulan lalu, kami langsung tidak mendapat bekalan air bersih sehingga kami terpaksa menggunakan air hujan untuk kegunaan harian manakala mandi dengan air di kolam tadahan yang digunakan untuk pengairan sawah padi,” katanya ketika ditemui semalam.

Penduduk kampung sama, Chit a/l Boonlap, 38, pula berkata, sepanjang ketiadaan langsung bekalan air sejak sebulan lalu, pihak SAP ada menghantar bekalan air menggunakan lori kecil tetapi jumlahnya tidak mencukupi.

Katanya, keadaan itu telah menyebabkan ada penduduk yang bergaduh sesama sendiri kerana berebut bekalan air ber­kenaan.

“Tolonglah, kerana kami sudah tidak sanggup lagi menanggung penderitaan ini dan biarlah ada pihak yang kali ini benar-benar dapat menyelesaikan masalah ini,” katanya.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sena, Asrul Nizan Abd. Jalil berkata, pihaknya meminta pihak SAP mengkaji semula bil-bil air yang terpaksa dibayar penduduk kerana mereka tidak mendapat perkhidmatan yang sempurna.

Beliau turut menuntut supaya pihak kerajaan negeri turun padang dan menyelesaikan masalah tersebut dengan kadar segera.