Situasi itu berlaku kerana perkhidmatan feri ke pulau peranginan tersebut terpaksa dihentikan sementara waktu sehingga cuaca kembali pulih.

Pengurus Operasi Bluewater Express, Mohammad Syafiq Farhan berkata, keadaan ombak besar serta angin kencang menyebabkan kapten feri tidak mahu mengambil risiko menghantar dan mengambil pelancong di pulau berkenaan.

“Kami menerima banyak aduan dan rungutan daripada pelancong yang mahu kami meneruskan perkhidmatan tetapi kami tidak mahu mengambil risiko kerana melibatkan isu keselamatan dan nyawa penumpang.

“Difahamkan, Jabatan Meteorologi mengeluarkan amaran sehingga Jumaat ini namun kami akan kembali beroperasi semula jika keadaan cuaca bertambah baik,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Bluewater Express yang berpangkalan di Mersing, Rompin mempunyai sembilan feri yang setiap satunya mampu membawa kira-kira 200 penumpang.

Mohammad Syafiq berkata, kejadian sama pernah berlaku ketika perayaan Tahun Baharu Cina baru-baru ini yang membabitkan kira-kira 400 pelancong.

Sementara itu, seorang pelancong, Abdul Ifwad Mohamad Ruslee, 27, berkata, dia tiba di pulau peranginan berkenaan pada Sabtu lalu untuk bercuti bersama isteri serta anaknya.

“Apabila tiba di Pulau Tioman, saya diberitahu oleh pelancong lain tentang keadaan laut bergelora sejak Jumaat lalu,” katanya.

Difahamkan, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) akan menghantar kapal KD Terengganu milik agensi keselamatan itu untuk membawa keluar pelancong yang terkandas di pulau berkenaan.

Kapal itu akan bertolak dari Pangkalan TLDM Tanjung Gelang di sini pukul 9 malam ini dan dijangka tiba di pulau berkenaan pagi esok. - UTUSAN ONLINE