Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Mah Siew Keong berkata, pekebun kecil getah yang berdaftar dengan Lembaga Getah Malaysia (LGM) dan mempunyai kad Permit Autoriti Transaksi Getah (PAT-G) layak menerima bantuan berkenaan.

“Mereka bakal menerima RM200 sebulan untuk tempoh November ini hingga Januari 2018 menerusi peruntukan sebanyak RM261 juta.

“Bantuan yang mula diperkenalkan tahun ini bertujuan meringankan beban kewangan pekebun kecil getah apabila pendapatan mereka terjejas berikutan musim tengkujuh sepanjang tiga bulan itu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat Agung Dwitahunan Persatuan Kebangsaan Pekebun-Pekebun Kecil Malaysia (PKPKM) yang berlangsung di Lembaga Minyak Sawit Malaysia dekat Bangi di sini hari ini.

Yang turut hadir Pemangku Ketua Pengarah LGM, Datuk Dr. Zairossani Mohd. Noor dan Presiden PKPKM, Datuk Aliasak Ambia. - UTUSAN ONLINE