Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Mah Siew Keong berkata, harga purata peringkat ladang bagi getah sekerap pada bulan lalu di Semenanjung berada pada paras RM2.10 sekilogram, Sabah (RM1.80) dan Sarawak (RM2).

“Kira-kira 500,000 pekebun kecil di seluruh negara boleh membuat tuntutan IPG di agensi selian masing-masing apabila insentif ini diaktifkan bagi Februari. Insentif ini diperkenalkan bagi membantu pekebun kecil apabila harga getah sekerap jatuh.

“Ini juga adalah usaha kerajaan untuk memastikan pekebun kecil terus menoreh. Bayaran IPG bagi Februari adalah 10 sen sekilogram bagi Semenanjung, Sabah (40 sen) dan Sarawak (20 sen),” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut Siew Keong, pemberian IPG akan dilaksana pada bulan semasa apabila purata harga getah Standard Malaysian Rubber (SMR) 20 Free On Board (FOB) berada pada paras RM5.50 sekilogram atau harga getah sekerap di peringkat ladang berada pada paras RM2.20 sekilogram ke bawah.

IPG boleh dituntut di pejabat-pejabat Lembaga Getah Malaysia (LGM), Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) dan Jabatan Pertanian Sarawak (JPS). - UTUSAN ONLINE