Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah bertitah, kajian me­nunjukkan 50 peratus daripada kes kemandulan adalah berpunca daripada lelaki sekali gus menepis stigma negatif masyarakat terhadap wanita berhubung masalah alam perkahwinan itu.

Baginda yang juga Pengasas dan Presiden Seumur Hidup Yayasan Fertiliti Tunku Azizah Pahang (TAFF) bertitah, sehubungan itu, golongan lelaki bermasalah digesa tampil bersama pasangan untuk membuat rawatan sebelum usia semakin lanjut.

“Malaysia mencapai kemajuan yang ketara dalam menangani isu-isu ini dan bekerjasama de­ngan pelbagai pihak berkepenti­ngan, mendekati sektor berkaitan selain membuat pelaburan dalam sumber yang kukuh.

“Oleh itu, lelaki jangan salahkan wanita sahaja. Kita berharap pasangan tampil membuat rawatan, jangan berlengah lagi walaupun baru dua tahun berkahwin kerana semakin lanjut usia, tahap kesuburan semakin menurun,” titah baginda kepada pemberita sebelum merasmikan Kongres Inisiatif Reproduksi Asia Pasifik Ke-7 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini hari ini.

Kongres berkenaan dianjurkan sejak tahun 2001 untuk mening­katkan pengetahuan dan kesedaran mengenai teknologi bantuan reproduktif dan perkhidmatan berkaitan kemandulan.

Dalam kongres itu, pencera­mah tempatan dan antarabangsa dijemput dengan penyertaan 1,500 peserta dari 20 negara membentangkan perkembangan teknologi dalam pemeliharaan kesuburan.

Ini termasuk kaedah-kaedah yang diguna pakai seperti embriologi, andrologi, ujian klinikal, Polycystic Ovary Syndrome (PCOS), Saringan Pra-Genetik (PGS), In Vitro Maturation (IVM) dan bidang-bidang berkaitan.

Baginda bertitah, kaedah tabung uji atau pembenihan in-vitro (IVF) yang dilaksanakan di negara ini dan turut digerakkan yayasan baginda itu amat popular apabila ia dikunjungi pesakit negara luar untuk membuat rawatan itu di sini.

Sejak ditubuhkan pada 2004, titah baginda, seramai 115 bayi berjaya dilahirkan menerusi kaedah itu di bawah yayasan berkenaan dan kini lebih 2,000 pasangan dalam senarai menunggu untuk mendapatkan rawatan tersebut.