Presiden Pertubuhan Permuafakatan Majlis Ayahanda Malaysia (Permas), Datuk Abdul Halim Ali berkata, memorandum yang mengandungi 25 perkara itu bagi memberitahu raja-raja Melayu dan pemimpin negara supaya masalah tersebut diberikan perhatian.

“Sekarang ini kita dapat lihat agama Islam dan orang Melayu sering dihina oleh pihak yang tidak bertanggungjawab, kami tidak mahu perkara ini berlaku kerana orang Melayu adalah penduduk asal negara ini dan tidak sepatutnya mereka diperlakukan sedemikian rupa.

“Memorandum tersebut merupakan luahan hati dan perasaan kami NGO-NGO Melayu seluruh negara,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis Simposium Kebangkitan Melayu – Takkan Melayu Hilang di Dunia dan Persida­ngan NGO Berbaiah 2017 di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, Abdul Halim berkata, simposium kebangkitan Melayu tersebut akan dijalankan di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak bagi memberi kesedaran kepada orang Melayu bahawa bangsa tersebut sedang dipandang rendah ketika ini.

Jelas beliau, orang Melayu perlu segera bangun dari ‘tidur yang lena’ dengan bangkit mempertahankan semula maruah bangsa yang semakin tercalar.

“Hari ini kita memasuki zon tengah iaitu mengumpulkan lebih 50 NGO Melayu dari Negeri Sembilan, Selangor dan Wilayah Persekutuan dan jelajah ini akan diteruskan di bahagian pantai timur dan pantai barat sebelum ke sebelah selatan dan Sabah serta Sarawak.

“Kemuncak simposium akan diadakan selepas hari raya nanti di Padang Merbok yang bakal mengumpulkan kira-kira 100,000 ahli NGO Melayu dari seluruh negara. Pada majlis itu kami akan sampaikan satu memorandum kepada Majlis Raja-Raja dan Perdana Menteri,” katanya.