Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, kejohanan bertemakan 'vacayrun' dengan pendekatan bersukan sambil bercuti itu seiring dengan hasrat kerajaan negeri merancakkan kegiatan sukan dan menyemarakkan pelancongan.

"Ia membuka ruang untuk rakyat mengasah bakat, bersaing dalam sukan marathon dan menjadi medan mempromosikan Terengganu dan meningkatkan ekonomi rakyat," ujarnya dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan prapelancaran LAJSM 2018, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Majlis Sukan Negeri, Ibni Amin Busu dan Presiden Persatuan Olahraga Amatur Terengganu (POAT), Datuk Wan Hisham Wan Salleh.

Penyertaan bagi kejohanan itu yang menawarkan hadiah wang tunai berjumlah RM214,000 telah dibuka mulai 15 Mac lalu dan akan ditutup pada 8 Ogos depan.

Katanya, sehingga kini  48,000 orang telah mengesahkan penyertaan termasuk 5,000 dari luar negeri ini di samping kalangan peserta dari Singapura, Thailand, Somalia, Yamen, United Kingdom, India, China dan New Zealand.

Kejohanan dibahagikan kepada lima kategori larian iaitu 41 kilometer (Km), 21km, 12 km, 5 km dan 3 km yang disesuaikan dengan pelbagai peringkat peringkat usia.

LAJSM 2018 yang disenaraikan dalam kalendar pelancongan negeri akan dikelolakan sekali lagi oleh POAT setelah turut  diberi kepercayaan pada tahun lalu.

Sementara itu menurut Wan Hisham, POAT akan berusaha memastikan kejohanan berjalan lancar di samping memberikan keselesaan kepada peserta dan terus menjadikannya kejohanan yang sentiasa dinanti-nantikan oleh mereka yang pernah menyertainya.

Dalam pengendalian, beliau berkata, POAT akan menggunakan sistem yang dapat mengesan kedudukan sebenar setiap peserta dan masa yang dicatatkan di setiap lokasi. - UTUSAN ONLINE