Bertepatan dengan itu, pelan transformasi yang bergaris masa 30 tahun iaitu Transformasi Nasional 2050 telah diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Bajet 2017 yang lalu bagi membentuk masa depan Malaysia dalam tempoh 2050 hingga 2050.

Demi menyokong agenda nasional itu, Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi telah menugaskan satu kajian dijalankan bagi menentukan bagaimana visi TN50 dapat direalisasikan dalam sektor agro komoditi.

Buat masa ini, hasil kajian tersebut sedang diperincikan dengan mengambil kira beberapa tema awalan dan cadangan bagi memaju giatkan sektor agro komoditi.

Menteri Perusahaan Perlada­ngan dan Komoditi, Datuk Seri Mah Siew Keong berkata, pihak­nya telah mengenal pasti lima trend mega yang akan memberi kesan terhadap kemajuan sektor agro komoditi pada masa depan iaitu kependudukan yang sema­kin berusia, pengurangan tenaga kerja, urbanisasi pesat, kemunculan perantauan Asia dan gangguan teknologi.

“Jadi, kami memerlukan hala tuju yang jelas kerana kesan lima trend mega ini secara umumnya akan dirasai oleh rakyat.

“Oleh itu, sektor agro komoditi perlu memberi tumpuan kepada tiga aspek penting ke arah 2050 iaitu kelestarian, produktiviti dan kepelbagaian kerana negara berpotensi menjadi peneraju global dalam komoditi pertanian melalui peningkatan produktiviti, ke­pelbagaian dengan nilai-nilai diperbaharui serta kelestarian penerapan inovasi canggih.

“Keutamaan ini juga bersesuai­an dengan aspirasi TN50 serta komitmen kami terhadap United National’s 2030 Agenda and Sustainable Development Goals,” ka­tanya dalam satu kenyataan, baru-baru ini.

Menurut Siew Keong, penstrukturan semula segmen huluan amat diperlukan kerana berdasarkan demografi penduduk, wujud peningkatan penduduk terutama dalam kalangan warga emas dan didapati kelompok go­longan muda yang memainkan peranan menyokong golongan tua itu adalah terlalu sedikit.

Katanya, jika digabungkan de­ngan perbandaran pesat, negara berkemungkinan mempunyai ma­­salah kekurangan pekebun ke­cil untuk berkebun kerana sebila­ngan golongan muda lebih tertarik mencari pekerjaan yang lebih menarik.

Pada masa sama katanya, pertumbuhan penduduk global bermakna wujudnya lebih banyak permintaan terhadap makanan, air dan tenaga.

“Bagi pembekal agro komoditi seperti Malaysia, perkembangan ini adalah baik tetapi membimbangkan kerana akan berlakunya tekanan terhadap penggunaan tanah dan sumber lain yang dilihat menjadi lebih kecil serta memberi kesan terhadap iklim negara kita.

“Mengikut unjuran, kenaikan satu suhu Celsius mampu me­ngurangkan hasil kelapa sawit sebanyak 27 peratus. Oleh yang demikian, amatlah kritikal untuk kita menguruskan sumber-sumber kita secara mampan,” katanya.

Namun beliau berkata, kemajuan teknologi yang didorong oleh lebih banyak mekanisasi dan automasi, boleh menjadi pemang­kin untuk mengubah sektor pertanian ke arah hasil pengeluaran dan pro­duktiviti yang tinggi.

Jelasnya, faktor tersebut juga penting untuk membantu menarik belia bagi menjadikan agro komoditi sebagai pilihan kerjaya yang berdaya maju.

“Kami harus memeriksa de­ngan teliti bagaimana kami boleh memainkan peranan yang lebih bermakna dalam rantaian bekalan dan nilai dua kuasa besar ekonomi dunia yang berhampiran dengan Malaysia untuk memastikan negara dapat bersaing untuk pasaran.

“Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi berada di landasan TN50 yang penuh mencabar tetapi menarik, kerana kami telah mempertimbangkan semua segi dan kemungkinan. Kejayaan kini terletak pada ke­pintaran kami menyepadukan te­naga, sumber dan semangat de­ngan terbaik,” katanya.