TAIPING 7 Sept. – Sebanyak 5,387 tablet yang mengandungi perisian Tutor Guru dan e-paper Utusan Malaysia diagihkan kepada guru-guru dari 147 buah sekolah di daerah-daerah Larut, Matang dan Selama, dekat sini.
Penolong Pengurus Kawalan Kredit Utusan Melayu (M) Berhad, Azman Musa berkata, pengagihan tablet berkenaan adalah kesinambungan daripada penyerahan gajet itu di negeri ini yang mana seramai 3,499 guru di daerah Kuala Kangsar menerimanya kelmarin.
Menurutnya, pemberian gajet itu akan diteruskan menerusi dua program lagi pada minggu hadapan, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan penerima di Perak seramai 39,269 orang.
“Pemberian tablet ini adalah sebagai satu hadiah daripada Perdana Menteri kepada guru-guru dan ia perlu dimanfaatkan sebaik-baiknya kerana turut dilengkapi perisian Tutor Guru dan e-paper Utusan Malaysia.
“Dua aplikasi ini adalah nilai tambah untuk tablet tersebut kerana dapat membantu guru-guru dalam menyediakan rancangan pengajaran dan pemudahcaraan (PdPc) yang berkualiti secara sistematik,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam majlis penyerahan gajet itu yang disempurnakan Setiausaha Politik Menteri Besar, Datuk Ahmad Shalimin Ahmad Shafie di Pejabat Pendidikan daerah di sini hari ini.
Yang turut hadir Ketua Sektor Pengurusan Maklumat Jabatan Pendidikan Negeri, Zolkefli Mohd. Idris dan Penolong Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Menengah, Mazlan Abd. Majid.