Penolong Setiausaha Majlis Keselamatan Negeri (MKN), Norhafizah Zainuddin berkata, Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Pasir Salak merekodkan jumlah penduduk terbesar berada di pusat pemindahan banjir di daerah itu iaitu 1,061 daripada 288 keluarga.

Katanya, turut menampung jumlah penduduk yang tinggi di daerah itu ialah Pusat Latihan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Kampung Gajah dengan 954 orang daripada 240 keluarga diikuti Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Muzaffar Shah di Lambor Kanan iaitu 699 daripada 185 keluarga.

“Kuala Kangsar terus menunjukkan penurunan apabila hanya 1,210 orang daripada 321 keluarga masih berada di 16 pusat pemindahan di daerah tersebut.

“Bagi Hulu Perak pula, jumlah di pusat pemindahan banjir meningkat kepada 764 orang daripada 218 keluarga berbanding 720 orang daripada 202 keluarga semalam,” katanya di sini hari ini.

Menurut Norhafizah, dua pusat pemindahan banjir di Kerian pula iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Alor Pongsu dan SK Alor Pongsu masing-masing kini menempatkan 80 orang dan 27 orang mangsa banjir.

Katanya, daerah terbaharu yang dilanda bencana itu iaitu di Manjung pula diduduki oleh 84 orang daripada 14 keluarga yang menghuni SK Kayan, Lekir.

“Jumlah keseluruhan mangsa banjir di lima daerah di negeri ini meningkat semula kepada 7,412 orang daripada 2,018 keluarga berbanding 7,114 orang yang direkodkan semalam,” katanya. - UTUSAN ONLINE