Ekoran masalah itu, penduduk terbabit iaitu Kampung Bechah Laut, Kampung Rawa , Kampung Gua Sena, Kampung Baru dan Kampung Bechah Parang terpaksa mengunakan alternatif lain seperti perigi dan telaga tiub bagi mendapatkan bekalan air.

Malah keadaan tersebut turut memaksa mereka mengeluarkan belanja lebih bagi membeli air bersih di kedai untuk kegunaan memasak dan minum.

Seorang penduduk, Ezani Zakaria, 36, berkata, masalah air telah berlaku sejak sekian lama dan sehingga kini tiada sebarang tindakan diambil pihak berkenaan bagi menyelesaikannya.

“Saya difahamkan pada tahun 2014, Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) meluluskan peruntukkan RM4 juta untuk sistem paip baharu di kawasan ini, namun sehingga hari ini masalah ini masih belum selesai.

“Berapa lama lagi kami perlu tnggu sedangkan KKLW sudah menyediakan peruntukan besar. Kami menggesa Kerajaan Pas Kelantan dan Pihak Air Kelantan Sdn. Bhd. (AKSB) supaya menyelesaikan masalah ini dengan segera,” katanya ketika ditemui di Kampung Rawa, Bechah Laut di sini hari ini.

Seorang lagi penduduk, Mohd. Nasir Mat Nor, 49, berkata, kerajaan negeri perlu menjaga kebajikan rakyat dan turun ke kawasan ini bagi melihat sendiri masalah yang dihadapi rakyat

“Air adalah keperluan asas yang sangat penting dan tidak semua penduduk di sini berkemampuan untuk menggunakan telaga tiub atau perigi.

“Lebih membebankan sekiranya berlaku kematian atau kenduri, kami terpaksa bergotong-royong mengangkut air dari rumah-rumah yang ada perigi serta mohon bekalan tangki air,” katanya. - UTUSAN ONLINE