Bantuan diberikan adalah dengan membaiki rumah-rumah mereka yang rosak akibat dipukul angin kencang.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail turut berkenan mencemar duli bagi menziarahi rumah-rumah penduduk terlibat.

Menerusi Program Jiwa Murni sempena sambutan Hari Ulang Tahun Ke-55 Rejimen Renjer Diraja (RRD) itu, 4RRD telah mendapat kerjasama daripada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis.

RRD yang bernaung di bawah Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail sebagai Kolonel Yang Dipertuanya, disambut pada 16 September setiap tahun.

Keberangkatan Tuanku Syed Faizuddin yang juga merangkap Tuanku Komander Rejimen 504 Askar Wataniah (AW) diiringi oleh Ketua Kompeni Markas 4RRD, Mejar Ahmad Amir Abu Bakar.

Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd. Nazim Mohd. Noor dan Timbalan Komander Rejimen 504 AW, Lt. Kol. Huzaini Hussin.

Terdahulu, seramai 55 peserta dalam kalangan warga 4RRD dan Rejimen 504 AW iaitu jumlah simbolik usia 55 tahun RRD telah menyertai Tuanku Syed Faizuddin dalam kayuhan ‘Agi Idup Agi Ngelaban-Biar Putih Tulang’ yang disekalikan dengan program berbasikal ‘MAIPs Peduli Menjejaki dan Menyantuni Asnaf’ kali ke-69 bagi tahun ini.

Peserta program kayuhan sejauh 12 kilometer itu telah memberi sumbangan kepada penghuni di lima buah rumah di Kampung Balik Bukit, Kersik dan Hutan Lembah.

Para peserta turut singgah untuk solat zohor, asar dan maghrib secara berjemaah di Masjid Asy Syakirin Oran dan Masjid As Solihin di Kampung Balik Bukit di samping mendengar tazkirah yang disampaikan oleh Mufti negeri, Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin.

Dalam pada itu, sebanyak 139 buah rumah telah dilaporkan mengalami kerosakan dalam kejadian ribut tersebut. - UTUSAN ONLINE