Pengurus Besar Kanan PTPTN, Abdul Ghaffar Yusop berkata, jumlah berkenaan membabitkan penuntut yang membuat pinjaman PTPTN sejak 1997 sehingga 31 Disember lalu.

Menurutnya daripada jumlah itu, PTPTN telah menukar pinjaman sebanyak RM1.47 bilion kepada biasiswa bagi menghargai kesungguhan para penuntut terbabit sehingga mampu memperoleh ijazah kelas pertama.

"Daripada jumlah tersebut, di Kelantan sahaja seramai 2,445 orang telah berjaya mendapat biasiswa PTPTN yang membabitkan pinjaman sebanyak RM60.52 juta.

"Jadi, inilah pendidikan percuma yang PTPTN berikan di mana kita mahu melahirkan anak-anak yang berdaya saing untuk mencapai kecemerlangan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Penyampaian Cabutan Wow! 20 Tahun PTPTN Bulan November 2017 di Sekolah Kebangsaan Batu Melintang, di sini hari ini.

Majlis berkenaan telah disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Balah, Datuk Abdul Aziz Derashid.

Pada majlis itu, murid tahun satu Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Melintang, Nik Muhamad Syahrulhamizan, 8, berjaya memenangi RM10,000 dalam Cabutan WOW! 20 Tahun PTPTN.

Menurut bapanya, Nik Rokman Nik Li, 36, tidak menyangka keputusannya untuk membuka akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i) atas nama anaknya sejak enam tahun lalu membawa tuah.

"Saya agak terkejut apabila menerima panggilan daripada PTPTN baru-baru ini memaklumkan tentang kemenangan dalam cabutan bertuah ini ," katanya. - UTUSAN ONLINE