Ketua NGO Antarabangsa, Datuk Dr. Mustapha Ahmad Marican berkata, pihaknya kini hanya menunggu urusan penghantaran pulang kesemua mangsa oleh Kedutaan Besar Malaysia di Phnom Penh, Kemboja.

"Saya tidak pasti bila mereka akan dibawa pulang tetapi pihak kedutaan sedang menguruskannya secepat mungkin.

"Setakat ini, kesemua mangsa berada dalam keadaan baik dan sedang ditempatkan di sebuah hotel di kawasan Banteay Meanchey yang ditaja oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Kemboja, Oknha Datuk Dr. Othsman Hassan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, di sini hari ini.

Menurutnya, turut hadir dalam proses dokumentasi itu ialah Pengarah Pejabat Wilayah Sarawak, Kementerian Luar, Deddy Faisal Ahmad Salleh; Ahli Parlimen Santubong, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar; Menteri di Jabatan Perdana Menteri Kemboja, Oknha Datuk Dr. Othsman Hassan dan Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak Sarawak, Datuk Seri Fatimah Abdullah.

Semalam, Dr. Mustapha memberitahu, kesemua tahanan Malaysia itu dibebaskan hari ini selepas beberapa perundingan dibuat dengan Kerajaan Kemboja dan Malaysia.

Jelasnya, keputusan meluluskan pembebasan itu dibuat Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen selepas mendapati semua tahanan itu ditipu sindiket ejen pekerjaan.

Terdahulu, Wisma Putra pada Khamis minggu lalu mengesahkan sebanyak 47 rakyat Malaysia ditahan sejak 11 Disember tahun lalu atas pertuduhan menipu, membuka dan menjalankan aktiviti perjudian dalam talian secara haram. - UTUSAN ONLINE