Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, proses membawa pulang kesemua mereka sedang diusahakan berdasarkan situasi dan kekangan yang perlu diatasi.

Beliau berkata, pada pukul 8.30 pagi ini waktu Kemboja terdapat penerbangan AirAsia dengan 38 kerusi untuk membawa mereka pulang namun tidak dapat berbuat demikian ekoran beberapa urusan pentadbiran dan logistik yang tidak selesai.

“Esok ada dua penerbangan keluar dari Phnom Penh, masing-masing pagi dan petang tetapi difahamkan cuma ada tidak sampai 20 kerusi.

“Saya telah mengarahkan pegawai-pegawai kementerian untuk melihat jika ada pilihan-pilihan lain atau melihat Isnin ini sekiranya terdapat kerusi yang mencukupi untuk membawa kesemua mereka pulang dengan segera,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan Alor Akar Kali Ke-42 di sekolah berkenaan di sini hari ini.

Kesemua 47 rakyat Malaysia itu dilaporkan ditahan sejak 11 Disember tahun lalu di negara berkenaan atas pertuduhan menipu, membuka dan menjalankan aktiviti perjudian dalam talian secara haram.

Mereka dibebaskan semalam selepas beberapa rundingan diadakan antara pegawai kedua-dua negara.

Perdana Menteri Kemboja Hun Sen dilaporkan meluluskan pembebasan tersebut setelah mendapati mereka ditipu sindiket agensi pekerjaan. - UTUSAN ONLINE