Pelajar berusia 18 hingga 20 tahun itu dipilih berdasarkan bakat dan minat mereka terhadap bidang seni visual khusus­nya videografi dan seni persembahan termasuk dalam kalangan pelajar yang cacat pendengaran.

Kursus sehari berkenaan memberi pendedahan secara praktikal kepada mereka berhubung fungsi komunikasi video, teknik asas penggambaran, penyediaan papan cerita (storyboad) dan pe­ngendalian kamera video.

Pengerusi PVNK, Samsudin Awang berkata, kursus itu merupakan sebahagian daripada program khidmat masyarakat oleh ahli persatuan itu untuk mendidik masyarakat menggunakan fungsi video pada telefon pintar dengan positif.

“PVNK telah mendapat jemputan daripada pihak SPKV Merbok selepas kursus itu mendapat sambutan di kolej dan universiti.

“Bagaimanapun, kami me­ngendalikan kursus di SPKV de­ngan menggunakan pendekatan berbeza iaitu lebih kepada pengajaran berbentuk praktikal berbanding teori agar ia bersesuaian dengan tahap kecerdasan dan pemahaman MBK,” katanya.

Menurutnya, tiga pengajar PVNK mengendalikan kursus berkenaan secara individu dan berkumpulan turut dibantu oleh tujuh guru SPKV.

Guru penyelaras kursus, Nur Rawaidah Rahmat berkata, mereka yang mengikuti kursus itu adalah pelajar yang mengikuti pengajian Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) dalam pelbagai bidang vokasional untuk MBK selama dua tahun di sekolah ini.