Lembaga Peperiksaan dalam satu kenyataan berkata, lembaga itu melalui Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) akan memastikan arahan yang diberikan oleh petugas peperiksaan adalah selaras di seluruh negara.

"Seramai 54,253 orang petugas peperiksaan yang terdiri daripada ketua pengawas, timbalan ketua pengawas dan pengawas telah dilantik oleh JPN untuk memastikan peperiksaan berjalan lancar.

"JPN perlu memastikan sekurang-kurangnya seorang petugas yang boleh berbahasa ibunda dilantik di SJKC dan SJKT bagi tujuan memberi penerangan lanjut jika arahan peperiksaan tidak difahami oleh calon," kata kenyataan itu di sini hari ini.

Menurut kenyataan itu lagi, Ketua Pengawas perlu memastikan semua garis panduan dan arahan peperiksaan dalam jadual waktu peperiksaan dimaklumkan kepada calon sebelum peperiksaan bermula.

Petugas peperiksaan yang boleh berbahasa ibunda dibenarkan memberi penerangan berkaitan arahan peperiksaan tersebut dalam bahasa ibunda sekiranya diminta oleh calon.

"Walau bagaimanapun, semua penerangan dalam bahasa ibunda perlu dilakukan sebelum peperiksaan bermula. Tiada ada apa-apa arahan lain dibenarkan sebaik sahaja peperiksaan bermula," katanya.

Arahan pada muka depan kertas peperiksaan boleh dibacakan dalam bahasa ibunda bagi kertas peperiksaan yang membenarkan atau memerlukan calon menjawab dalam bahasa ibunda.