Naib Presiden, Pengurusan Sumber Manusia Kumpulan Petronas, Datuk Raiha Azni Abd. Rahman berkata, pelajar tersebut antara 300 yang terpilih di seluruh negara daripada 8,280 pemohon tahun ini.

Katanya, Petronas kekal komited dalam program tajaan pendidikan untuk memastikan pelajar berkelayakan diberi peluang mengembangkan kejayaan dalam pengajian tinggi nanti.

"Sehingga kini, 782 belia Sarawak dianugerahkan biasiswa itu berdasarkan kecemerlangan dalam SPM dan penilaian kompetatif tinggi ketika Hari YoungStars Petronas.

"Petronas memperuntukan RM8.9 juta kepada 44 pelajar dari Sarawak untuk melanjutkan pengajian di Universiti Teknologi Petronas (UTP) malah universiti terkemuka luar negara," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Anugerah Pendidikan Tajaan Petronas, di sini sebentar tadi.

Yang turut hadir, Timbalan Setiausaha Negeri Sarawak (Transformasi Luar Bandar), Datuk Jaul Samion.

Pada majlis itu, 41 pelajar juga menerima tajaan untuk belajar di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) mengikut Program Budi-Petronas manakala 61 pelatih latihan teknikal Program Tajaan Institusi Vokasional dan Bantuan Latihan (VISTA) di Sarawak tahun ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya akan meneruskan peluang sebegitu bagi mereka dapat mengenali potensi diri disamping mendidik dan membangunkan pemimpin masa depan.

Sementara itu, penerima biasiswa PESP yang mendapat 9A dalam SPM, Intan Nurhaslinda Roslan berkata, dia bersyukur dan berterima kasih kepada Petronas yang memberi peluang kepadanya untuk melanjutkan pelajaran di peringkat lebih tinggi.

"Saya sebelum ini menuntut di MRSM Mukah mempunyai kumpulan belajar yang saling membantu antara satu sama lain menjadi antara rahsia kejayaan ini ," jelasnya.

GLADYS CALVINA
GLADYS CALVINA

Bagi seorang lagi penerima PESP, Gladys Calvina Timothy berkata, dia tidak menyangka dapat menerima biasiswa PESP itu dan baginya dalam pembelajaran apa paling penting adalah konsisten. - UTUSAN ONLINE