Pengerusi Perkeso, Tan Sri Dr. Aseh Che Mat berkata, daripada jumlah itu, seramai 40 pekerja meninggal dunia akibat penyakit tidak berjangkit seperti darah tinggi dan diabetes manakala bakinya disebabkan oleh kemalangan ketika perjalanan dan di tempat kerja.

Jelas beliau, pihaknya memandang serius perkara berkenaan dan untuk tahun ini, badan itu telah meluluskan peruntukan berjumlah RM5.8 juta bagi pemberian geran bantuan kewangan kepada 32 institusi dan pertubuh­an bukan kerajaan (NGO).

Tambahnya, usaha berkenaan akan dimanfaatkan untuk 704 program pencegahan kemalang­an dan ia selaras dengan aspirasi badan itu untuk mengurangkan bencana pekerjaan dalam kalang­an pencarum.

“Jumlah kemalangan yang dilaporkan meningkat tahun demi tahun. Untuk tahun 2016 seba­nyak 66,618 kes telah diterima dan angka itu meningkat kepada 69,980 pada tahun lalu.

“Walau bagaimanapun menerusi usaha berterusan Perkeso memupuk kesedaran keselamatan dan kesihatan pekerjaan, kes maut didapati menunjukkan penurunan iaitu 924 kes tahun lalu berbanding 963 kes pada 2016,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyerahkan geran bantuan kewangan di Menara Perkeso di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed dan Timbalan Ketua Eksekutif Operasi Perkeso, John Riba Marin.

Inisiatif berkenaan telah bermula sejak tahun 2001 dan ia ber­asaskan skop, bidang institusi serta NGO yang dipercayai mampu membantu Perkeso menjalankan program pencegahan yang bercirikan pendidikan kepada golongan pekerja.

Mengulas lanjut, Aseh turut memaklumkan bahawa pihaknya mendapat kerjasama daripada rakan strategik seperti jabatan dan agensi kerajaan untuk memastikan jumlah kemalangan yang dilaporkan mampu diturunkan seminimum mungkin.

“Kerjasama ini dilihat efektif untuk memastikan kesedaran keselamatan dan kesihatan pekerjaan dapat ditingkatkan selaras dengan kehendak Seksyen 40 Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969,” katanya.