NUR JAZLAN

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, berdasarkan ujian saringan air kencing yang dilakukan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) tahun lalu, sebanyak 1,475 daripada 36, 675 pelajar didapati terlibat dengan dadah.

Menurutnya, daripada jumlah tersebut, sebanyak 1,075 pelajar didapati positif dadah perangsang jenis amfetamina (ATS).

“Pelajar tingkatan empat dan lima mempunyai peratusan ter­tinggi iaitu 73 peratus yang disa­ring didapati positif dadah. Kita akui masalah ini semakin serius terutama penggunaan dadah ATS.

“Hal ini kerana dadah jenis heroin atau kanabis lebih mahal harganya. Selain itu, ada pelajar yang mengambil methamphetamine kerana ingin mengurangkan tekanan peperiksaan dan mendapatkan tenaga untuk mengulang kaji pelajaran,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Pelancaran Cipta 2018 anjuran Persa­tuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) di Universiti Malaya (UM) di sini malam tadi.

Terdahulu, Nur Jaz­lan yang juga Yang Dipertua Pemadam melancarkan kempen Cipta 2018 sebagai salah satu langkah bagi mendekatkan persatuan itu dengan golongan muda melalui pertan­dingan mencipta logo, moto, lagu dan video untuk Pemadam.
Yang turut hadir Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) AADK, Datuk Izhar Talib.

Nur Jazlan berkata, kadar penggunaan dadah dalam kalangan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) juga mencatatkan angka yang membimbangkan selepas beberapa ujian saringan air ken­cing dilakukan.

Menurutnya, sehingga perte­ngahan tahun ini, sebanyak 250 daripada 11,000 pelajar universiti awam yang disaring dikenal pasti mempunyai masalah ketagihan dadah.

“Bagi pelajar universiti swasta pula, kita mendapati 158 orang positif dengan bahan larangan ini selepas melakukan ujian terhadap kira-kira 4,000 dalam kalangan mereka,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya berharap peruntukan bagi melaksanakan program pemulihan dadah ditambah dalam Bajet 2018.

“Kita di kementerian sedang merumuskan pelan keseluruhan mengenai isu pemulihan ini. Sebagai contoh di AADK, kami terpaksa bergantung kepada doktor daripada Kementerian Kesihatan, walhal kami memerlukan pakar sendiri.

“Beberapa aspek penambahan latihan kepada anggota AADK juga perlu diberi perhatian kerana kita bimbang ada penagih yang agresif sehingga boleh mendatangkan bahaya,” katanya.