Berlangsung di Masjid Sultan Yussuf Izzuddin Shah, Seri Iskandar di sini, setiap pasangan dalam lingkungan umur antara 20 hingga 50 tahun yang dinikahkan itu yang hanya perlu mengeluarkan belanja sebanyak RM1,500.

Majlis tersebut dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, Pendidikan Islam dan Pembangunan Sahsiah ne­geri, Datuk Mohd. Nizar Zakaria merangkap Ahli Dewan Unda­ngan­ ­Negeri (ADUN) Belanja.

Terdahulu, majlis dimulakan dengan khutbah nikah yang di­sampaikan oleh Ketua Pendaftar, Perkahwinan, Penceraian dan Rujuk Orang Islam negeri, Zakaria Abd. Razak.

Selepas kesemua pasangan dinikahkan, pengantin lelaki menunaikan solat sunat sebelum berdoa sambil memegang ubun isteri masing-masing.

Ahli keluarga terdekat yang hadir turut menyaksikan pene­rimaan mas kahwin serta penye­rahan tanggungjawab oleh wali kepada pengantin lelaki.

Kesemua pasangan raja sehari itu kemudian berarak ke pekara­ngan masjid untuk menikmati jamuan makan beradab sementara majlis resepsi diadakan di Dewan Seri Iskandar, Universiti Teknologi Mara (UiTM) dekat sini, pada sebelah malam.

Setiap pasangan pengantin turut menerima penginapan percuma untuk semalam hari ini di D Hotel Seri Iskandar di sini.

Sementara itu, pasangan termuda yang dinikahkan dalam maj­lis tersebut, Muhamad Aidil Amin Hasbullah, 19, dan Wan Hanis Syafiqah Wan Yahya, 20; menyifatkan program tersebut sangat bagus kerana dapat menjimatkan kos.

“Kami mula berkenalan sejak tujuh tahun lalu di laman Facebook dan mendaftar untuk program ini pada bulan Mac lalu.

“Pada mulanya, kami ingatkan permohonan ini tidak berjaya tetapi akhirnya menerima maklum balas pada bulan puasa lalu,” kata Muhamad Aidil Amin yang mengakui tidak merancang untuk melangsungkan perkahwinan pada tahun ini.

Dalam pada itu, Pengarah JAIPk, Datuk Mohd. Yusop Husin berkata, penganjuran pertama kali di luar daerah Ipoh itu bakal diteruskan pada 16 September setiap tahun bagi memudahkan pasangan pengantin mengingati hari ulang tahun perkahwinan mereka yang jatuh pada Hari Malaysia.