Pengarah Perikanan negeri, Rosmawati Ghazali berkata, biarpun terdapat sedikit penurunan penyu karah mendarat di Melaka berbanding pada 2014 iaitu sebanyak 438 ekor, secara keseluruhannya jumlah itu dilihat konsisten setiap tahun.

Selain itu menurutnya, terdapat pengurangan pendaratan dan sarang telur penyu karah di lokasi seperti Pulau Upeh iaitu hanya 15 ekor tahun lalu berbanding sebelumnya lebih 100 ekor namun jumlahnya mening­kat di lain-lain tempat ter­uta­manya di Padang Kamunting.

“Terdapat 18 kawasan pendaratan spesies ini dikenal pasti di pesisir pantai Melaka iaitu di Meriam Patah, Tanjung Serai, Tanjung Dahan termasuk Pulau Upeh, Padang Kamunting, Tanjung Bidara dan lain-lain.

“Pendaratan penyu karah ini hanya di Melaka dan ia mengikut musim iaitu mencatatkan jumlah tinggi pada Mei hingga Julai dan jantina yang terhasil bergantung pada keadaan suhu iaitu suhu panas lebih banyak anak penyu betina dan sebaliknya,” katanya.

Beliau ditemui selepas program Jabatan Perikanan negeri bersa­ma media di Pusat Konservasi dan Pene­rangan Penyu di Padang Ka­mun­ting, Masjid Tanah di sini sema­lam.

Majlis itu disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Pembangunan Usahawan ne­geri, Datuk Hasan Abd. Rahman dan turut dihadiri Ahli Dewan Unda­ngan Negeri (ADUN) Linggi, Datuk Ismail Othman dan ADUN Tanjung Bidara, Datuk Md. Rawi Mahmud.

Rosmawati berkata, spesies penyu berkenaan terancam secara kritikal di peringkat global namun Melaka merupakan pendaratan utama penyu karah dan tertinggi di Asia Tenggara.

“Hidupan akuatik itu amat sensitif dengan bunyi dan cahaya selain kualiti air dan usaha melindungi penyu yang kian terancam ini pen­ting bagi mengimbangi ekosistem marin,” katanya.