Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bilangan murid mencapai keputusan 3A ke atas dalam peperiksaan itu meningkat ketara berbanding tahun lalu, membuktikan agenda memperkasa pendidikan golongan itu semakin berhasil.

Beliau berkata, jumlah murid yang berjaya memasuki MRSM meningkat hampir 200 peratus berbanding tahun lalu yang mencatatkan hanya seramai 14 murid.

“Berdasarkan pencapaian UPSR dalam kalangan anak Orang Asli didapati semakin baik dengan 41 murid secara automatik layak memasuki MRSM dengan syarat minimum 3A dan ke atas daripada jumlah keseluruhan 4,100 murid menduduki UPSR tahun ini.

“Secara keseluruhan, seramai lima orang murid berjaya memperoleh 6A; enam murid (5A); 13 murid (4A); 17 murid (3A); 39 murid (2A) dan 1A seramai 113 orang murid. Pencapaian ini menjadi penanda aras penting terhadap usaha kementerian memperkasakan tahap pendidikan orang Asli,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Karnival Orang Asli (KOA) 2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri 11 Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Ahmad Jaz­lan Yaakub; Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Borhan Dolah dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa), Mohd. Jamalludin Kasbi.

KOA 2017 berlangsung dari 24 November hingga 26 November 2017 adalah inisiatif kementerian itu dengan kerjasama Jakoa mengetengahkan tiga elemen utama iaitu kebudayaan, keusahawanan dan kejayaan masyarakat Orang Asli yang terdiri daripada 18 suku kaum di seluruh negara.

Menurut Ismail Sabri, antara keutamaan kementeriannya adalah mengurangkan keciciran pendidikan anak Orang Asli yang menyaksikan kadarnya telah pun menurun dari 20 peratus pada 2015 kepada 16.75 peratus ketika ini.

“Sehingga November tahun ini, seramai 797 pelajar Orang Asli berjaya melanjutkan pelajaran ke peringkat universiti dalam pelbagai jurusan pengajian, selain 87 pelajar kini menuntut di luar negara, empat orang lulusan Doktor Falsafah (PhD), Ijazah Sarjana (34), Ijazah Pertama (930) dan Diploma seramai 650 orang,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE