Bagaimanapun, Gred Purata Nasional (GPN) menunjukkan sedikit penurunan daripada 5.13 pada 2017 kepada 5.19 bagi 2018 iaitu menurun sebanyak 0.06 peratus.

Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Derma terus mencatatkan keputusan terbaik dengan seramai 18 orang calonnya memperolehi semua A diikuti Sekolah Menengah (SM) Sains Tuanku Syed Putra (enam); SMK Agama Arau (lima); SMK Agama Perempuan Kangar (empat); SMK Kuala Perlis serta SMK Tuanku Lailatul Shahreen (dua); SMK Arau; SMK Dato’ Sheikh Ahmad; SMK Perlis dan SMK Tengku Sulaiman, masing-masing seorang yang memperolehi semua A.

Manakala pelajar SMK Derma, Najah Afiqah Rose Aza dinobatkan sebagai pelajar terbaik SPM peringkat negeri ini apabila memperolehi keputusan 9A+.

Peratusan calon layak mendapat sijil pula menurun daripada 86.07 peratus pada 2017 kepada 85.19 peratus pada 2018.

Pengarah Pendidikan negeri, Izmi Ismail berkata, pencapaian di bandar meningkat sebanyak 0.14 mata GPS iaitu 4.40 pada 2018 berbanding 4.54 pada 2017.

Manakala pencapaian calon luar bandar pula kata Izmi, menunjukkan penurunan sebanyak 0.12 mata GPS iaitu 5.54 pada 2018 berbanding 5.42 pada 2017.

“Sebilangan besar calon yang memperolehi keputusan cemerlang ini terdiri daripada kumpulan calon yang menduduki sembilan dan 10 mata pelajaran.

“Manakala, lapan buah sekolah di negeri ini berjaya mengekalkan pencapaian 100 peratus calon layak mendapat sijil,” katanya dalam sidang akhbar di SM Sains Tuanku Syed Putra di sini hari ini.

Sebanyak 3,324 orang calon menduduki SPM 2018 di negeri ini melibatkan 41 mata pelajaran keseluruhannya. - UTUSAN ONLINE