Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, sepanjang tempoh tersebut, pihaknya telah memeriksa seramai 165,490 warga asing dan 1,166 majikan yang dikenal pasti menggaji dan melindungi mereka.

Katanya, tangkapan PATI yang paling ramai adalah melibatkan warga Indonesia seramai 13,614 orang diikuti Bangladesh (8,748), Myanmar (4,068), Filipina (3,549), Thailand (2,791) dan lain-lain (8,348).

“Di Jabatan Imigresen, kita sentiasa menjalankan operasi dengan ramai PATI diperiksa dan ditahan selain majikan dan dalang yang membawa dan melindungi pekerja asing ini juga telah ditangkap dan didakwa di mahkamah.

“Semua penguatkuasaan yang dijalankan ini adalah merupakan tindakan tegas yang diambil oleh Imigresen dalam mengekang peningkatan PATI di negera ini demi menjaga keselamatan dan kedaulatan negara yang sememangnya tiada kompromi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Pejabat Imigresen cawangan Cameron Highlands di Tanah Rata di sini hari ini.

Menurut beliau, sebagai agensi penguatkuasa yang telah diamanahkan, pihaknya sentiasa mengambil maklum aduan masyarakat berhubung kehadiran PATI dengan mengambil tindakan yang sewajarnya.

“Masyarakat sudah letih dan lemas dengan PATI dan mereka menyatakan kenapa tidak diambil tindakan (terhadap PATI). Ini yang kita lakukan sekarang dengan mengambil tindakan tegas terhadap mereka dengan menguatkuasakan undang-undang yang telah diamanahkan.

“Saya beri amaran dan peringatan kepada majikan dan dalang yang membawa pekerja asing ini bahawa tindakan tegas akan terus dilakukan terhadap mereka tanpa sebarang kompromi,” katanya. - UTUSAN ONLINE